Saturday, March 5, 2011

Pemilikan Hakiki

 alt
"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi..." (Surah Al-Baqarah: 284)
"...Kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi..." (Surah Al-Munaafiquun:7)
Merasa bahawa kita memiliki sesuatu secara mutlak akan mengundang kesengsaraan jiwa kerana apa yang ada pada kita itu boleh hilang pada bila-bila masa sahaja. Justeru, kita tidak akan redha atau berpuas hati dengan sebuah kehilangan, dan akan menjadi tertipu dengan sebuah pemilikan yang sementara.
Kita tidak memiliki apa-apa dan kita juga bukan milik siapa-siapa selain Dia. Allah lah yang memiliki jiwa-jiwa kita dan segala yang ada di langit dan di bumi. Sedarlah bahawa kita akan kembali, kerana pemilikan Dia adalah sebuah pemilikan tunggal, hakiki dan abadi.
Adapun istilah "milik" yang kita gunakan dalam pembicaraan sehari-hari itu hanyalah sebuah kata yang hakikatnya merujuk kepada sesuatu yang dianugerahkan Allah kepada kita buat sementara, sebagai pinjaman. Setiap sesuatu yang diberikan kepada kita untuk dimiliki di dunia ini pasti akan hilang apabila Dia menentukannya.
Tidak ada sesuatu pun yang berada di atas muka bumi ini yang terlepas daripada pemilikan Allah. Semuanya adalah kepunyaan-Nya secara mutlak, dan hanya Dia yang berhak menentukan dan mengizinkan sesuatu itu berlaku terhadap segala isi bumi. Dia adalah pemilik mutlak yang tunggal, yang mengatur segala perjalanan dunia ini.
"Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arsy daripada apa yang mereka sifatkan." ( Surah Al-Anbiyaa':22)
Atas kesedaran bahawa kita adalah milik Allah, kita harus mengembalikan segala urusan kepada Allah. Hanya dia yang berkuasa memberikan keputusan terhadap diri kita. Hanya dia yang tahu apa terbaik untuk kita lalu memerintahkannya, dan apa yang buruk untuk kita lalu melarangnya.
Apabila Dia memiliki kita, adakah kita punya hak untuk menentang? Setelah seorang tuan memiliki seorang hamba, tugas seorang hamba adalah ikut dan tunduk patuh kepada tuannya dengan ketaatan yang tiada berbelah bahagi.
Segalanya yang kita miliki adalah milik mutlak Allah. Sekalipun kita merasa teramat sayang terhadapnya, ia tetap akan kembali kepada Allah. Isteri atau suami adalah anugerah Allah. Kita memilikinya hanya untuk sementara dalam melayari perjalanan di atas muka bumi. Bila-bila masa sahaja Allah boleh mengambilnya daripada kita tanpa perlu meminta persetujuan atau kebenaran kita, kerana sememangnya itu adalah miliknya.
Anak-anak adalah anugerah bernilai daripada Allah untuk sementara dan kita takkan selama-lamanya bersama mereka. Kemungkinan Allah memanggil kita kembali sebelum mereka, atau mereka yang diambil pergi.
Harta adalah kurniaan Allah. Apa jua cara ia luput daripada kita bukan permasalahannya. Intinya adalah ia pasti akan luput sedikit demi sedikit kerana Allah yang memberikan kita harta dan Dia menghilangkan daripada kita sepertimana yang dikehendaki-Nya. Hatta jiwa kita adalah hak mutlak Allah dan pasti kembali kepada-Nya. Apa yang tidak menjadi milik-Nya daripada sekian perkara yang kita 'miliki'? Semuanya, adalah kepunyaan Dia.
"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi..." (Surah al-Baqarah: 284)
Jika kita adalah pemilik mutlak kepada sesuatu, maka semestinya kita boleh menghalang ia hilang daripada kita. Kita pasti tidak akan pernah mampu berbuat demikian. Kita mungkin boleh berbicara dengan yakin, bahawa kita memiliki sesuatu secara pasti, namun kita akan tersadung apabila takdir Allah mendahului kehendak kita.
Hilang, lenyap, luput, mati, tamat, semuanya akan berlaku dan kita sedikit pun tidak dapat menghalangnya. Takut kehilangan dan berusaha untuk terus memiliki sesuatu adalah tanda yang jelas bahawa kita tidak memiliki sesuatu tersebut. Jika kita memilikinya, kita takkan pernah bimbang dan takut.
Dalam memahami pemilikan hakiki ini, Islam mengajar kita untuk bersikap sederhana dalam segala sesuatu. Apabila kita mencintai, janganlah sehingga melampaui batas dan ingin mendahului ketentuan Allah. Apabila kita memiliki sesuatu harta (yang hakikatnya adalah pinjaman), janganlah terlalu bakhil untuk menginfak di jalan Allah. Islam tidak melarang kita daripada berusaha untuk mendapatkan kurnia daripada Allah, kerana dia memberi apabila dia berkenan.
Apa yang paling penting adalah menyerap makna pemilikan hakiki oleh Dia dan tidak merasakan bahawa kita adalah pemilik mutlak kepada segala sesuatu. Dia adalah pemilik dan kita adalah peminjam, kitalah yang berhajat kepada apa yang menjadi milik-Nya, dan dia sama sekali tidak rugi dengan apa yang diberikan-Nya kepada kita.
"Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji." (Al-Fathir: 15)
Kita selalu merasa ingin memiliki sesuatu. Apabila kita telah memilikinya, kita selalu ingin agar ia tidak luput daripada kita. Kita selalu lupa bahawa ia adalah pinjaman yang pasti diambil kembali. Hai jiwa yang sering tidak puas dengan apa yang ada, dan sentiasa mengejar sesuatu yang bukan milik kita, sedarlah bahawa Dia adalah pemilik hakiki segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi. Apabila engkau meminta, mintalah kepada Dia. Apabila engkau ingin memberi, berilah kerana Dia.
Wallahua'lam.

Apabila kita ketagih hiburan

 alt

Hiburan. Istilahnya sahaja sudah menyeronokkan kerana ia mengingatkan kita untuk relaks dan bersantai. Menurut Kamus DBP, hiburan itu sesuatu yang menyukakan dan menggembirakan hati. Ia juga adalah sesuatu yang menyeronokkan yang mampu mengalih perhatian, mengikut Kamus Merriam-Webster pula. Melihat kepada maknanya, hiburan itu suatu aktiviti yang ringan.
Namun, oleh kerana ia menggembirakan, maka hiburan menjadi rekreasi kegemaran yang akan dilakukan oleh kebanyakan daripada kita. Meskipun pada mulanya hiburan adalah sesuatu yang sampingan, oleh kerana ia menjadi minat manusia yang meluas, maka hiburan menjelma menjadi satu industri.
Sedangkan revolusi industri di United Kingdom pada kurun ke-18 dan ke-19 yang telah mengubah sama sekali sosio-budaya dan sosio-ekonomi manusia, hiburan tidak pernah menjadi pilihan manusia untuk dikembangkan. Sebaliknya, bidang pertanian, pengeluaran, perlombongan, pengangkutan dan juga teknologi yang menjadi penjana asal revolusi industri itu.
Hiburan yang berupa acara sampingan, kini sudah menjadi acara utama kerana hiburan menjenguk dan mencelah di mana-mana, pada setiap ruang dan ketika. Kita bangun pagi bukan lagi kerana mendengar kokokan ayam, tetapi bila muzik rancak berkumandang daripada jam di telefon bimbit.
Apabila memutar ke stesyen radio, kita mendengar celoteh juruhebah yang lebih gemar memperkatakan topik-topik yang lawak hingga kita tertawa. Kita sudah tidak mendengar juruhebah yang memperingat kita dengan informasi atau menasihati kita kata-kata hikmat. Lawak hanya menghiburkan. Ia tidak akan membahagiakan seperti mendengar kata-kata hikmat.
Di akhbar-akhbar, berita-berita tentang ekonomi, masalah sosial dan bisnes jarang sekali dipilih menjadi tajuk utama. Sebaliknya berita-berita orang-orang politik yang berpolemik, cerita sensasi dan berbaur seks lebih mendapat tempat kerana ia berunsur hiburan. Di televisyen juga, drama, program realiti, konsert dan peragaan fesyen didapati lebih banyak daripada program-program berupa informasi, penyelidikan dan keilmuan.
Apabila kita membuka internet, terdapat berjuta-juta gerbang dan laman berupa hiburan hinggakan kita terlupa menjadikan komputer sebagai alat untuk memperoleh ilmu, bukannya untuk mendapat hiburan. Hiburan kini muncul di mana-mana. Hinggakan kita bukan lagi memilih hiburan untuk merehatkan fikiran, tetapi kita terpaksa memilihnya kerana ia dipersembahkan dalam beranika bentuk. Justeru itu, kita dileka dan dilalaikan. Tanpa kita sedari, kita tidak boleh hidup tanpa hiburan barang seketika.
Santapan rohani kita bukan lagi solat, zikir dan tafakur. Bukan lagi melihat mentari senja terbenam, atau melihat sekawan burung berterbangan pulang ke sarang. Sebaliknya santapan rohani kita adalah persembahan yang tentunya mengandungi muzik yang bergemuruh bunyinya dan cerita tahyul yang menakutkan hingga ia memberi kesan terhadap tabiat tidur kita.
Santapan jasmani kita bukan lagi pergi ke hutan memikat burung, berlari di sawah dengan berkaki ayam atau berperahu mudik ke kuala. Santapan jasmani kita adalah tarian yang diiringi muzik yang membingitkan. Kalau adapun yang bersukan, jumlah yang menjadi penontonnya lebih ramai daripada yang beraksi di padang atau gelanggang.
Santapan minda kita bukan lagi bahan bacaan yang mendatangkan manfaat, tetapi santapan minda kita adalah bahan bacaan yang bukannya fakta tetapi fitnah, bukannya celoteh tetapi cercaan, bukannya berita tetapi hampas cerita yang sudah dibaca berulangkali sama ada di majalah mahupun di internet.
Sebenarnya, hiburan itu bagus jika ia dinikmati secara sambilan. Ia sampingan, bukan keutamaan. Ia sepatutnya merehatkan, bukannya meleka dan melalaikan. Sebaliknya, jika kita nikmati hiburan tidak tentu masanya, kita menjadi akibat dilolokkan. Akhirnya, kita menjadi manusia hedonis ~ manusia yang suka berseronok di sepanjang masa. Sedangkan keseronokan itu bukannya kebahagiaan.
Kerana keseronokan selalunya seketika.
Kebahagiaan lazimnya berpanjangan.

Friday, January 14, 2011

Pengertian Fitnah menurut al-Quran dan Sunnah


MAKNA FITNAH DARI SEGI BAHASA DAN ISTILAH

Kalimah Fitnah الفتنة dalam bahasa arab bermaksud: Ujian dan cubaan.

Imam Ibnu Hajar berkata : Asal kepada makna fitnah adalah الإختبار (ujian) dan الإمتحان )ujian)

Ibnu Manzur berkata: Al-Azhari dan lainnya berkata:

“Asal makna fitnah adalah الإبتلاء (cubaan), الإمتحان (Ujian) dan الإختبار (ujian).”

Adapun dari segi istilah ulama adalah seperti yang didefinasikan oleh Jurjani:

“Perkara yang dilakukan untuk mengetahui kebaikan atau keburukan sesuatu.”

FITNAH DALAM QURAN

Makna fitnah dalam Quran adala berbeza. Ianya seumpa berikut:

1. Fitnah bermaksud Syirik. 

Firman Allah :

والفتنة أشد من القتل

“Syirik lebih dahsyat dosanya daripada membunuh.” (191 : al-Baqarah)

وقاتلوهم حتى لا تكون فتنة

“Dan perangilah mereka supaya tidak berlakunya syirik.” (193 : al-Baqarah)

والفتنة اكبر من القتل

“dan Syirik lebih besar dosanya dari membunuh.” (217 : al-Baqarah)

2. Fitnah dengan makna ujian dan cobaan.

Firman Allah:

وفتناك فتونا

“Dan kami uji kamu (Nabi Musa) dengan pelbagai ujian yang besar.” (40 : Toha)

ولقد فتنا الذين من قبلهم 

“Dan sesungguhnya kami telah menguji ummat yang terdahulu.” (3 : al-Ankabut)

3. Fitnah bermaksud seksa 

Firman Allah:

إن الذين فتنوا المؤمنين والمؤمنات

“Sesungguhnya orang-orang yang menyeksa orang-orang beriman lelaki dan perempuan … “

Begitu juga makna fitnah pada ayat 10 surah al-Ankabut, ayat 14 surah az-Zariat dan ayat 110 surah an-Nahl.

4. Fitnah bermaksud dosa. 

Firman Allah:

ومنهم من يقول ائذن لي ولا تفتني ألا في الفتنة سقطوا

“Dan sebahagian mereka ada yang berkata “izinkanlah aku untuk tidak berperang dan janganlah menyebabkan aku berbuat dosa. Ketahuilah mereka telah terjebak dalam dosa (dengan tidak mahu pergi berperang).” (49 : at-Taubah)

5. Fitnah bermaksud kekufuran.

Firman Allah:

لقد ابنغوا الفتنة

“Sesungguhnya mereka inginkan kekufuran.” (48 : at-Taubah)

Begitu juga fitnah dalam ayat 7 surah Ali imran.

6. Fitnah bermaksud pembunuhan dan kebinasaan.

Firman Allah:

إن خفتم أن يفتنكم الذين كفروا

“Sekiranya kamu takut orang-orang kafir membunuh kamu.” (101 : an-Nisa)

Begitu juga fitnah pada ayat 83 surah Yunus.

7. Fitnah bermaksud berpaling dari jalan yang benar.

Firman Allah:

واحذرهم أن يفتنوك

“Dan berwaspadalah dari mereka yang hendak memesongkan kamu dari jalan kebenaran.” ( 49 : Maidah)

Begitu juga dalam ayat 73 surah al-Isra.

8. Fitnah bermaksud sesat.

Firman Allah :

ومن يرد الله فتنته

“Dan sesiapa yang Allah hendak menyesatkannya.” (41 : al-Maidah)

Begitu juga fitnah dalam ayat 162 surah as-Soffat.

9. Fitnah bermaksud alasan.

Firman Allah :

ثم لم تكن فتنتهم إلا أن قالوا والله ربنا ما كنا مشركين

“kemudian tidaklah ada alasan mereka melainkan mereka berkata “Demi Allah wahai tuhan kami, kami bukannya orang-orang musyrikin.” (23 : al-An’am)

Sebahgian tafsir menyatakan fitnah disini bermaksud jawapan.

10. Fitnah bermaksud gila

فستبصر ويبصرون بأيكم المفتون

“Maka kamu akan lihat hai Muhammad dan mereka akan lihat siapakah yang gila.” (6 : al-Qalam)

FITNAH DALAM HADIS

1. Fitnah bermaksud perselisihan dan peperangan

Nabi saw bersabda:

ستكون فتن القاعد فيها خير من القائم

“Akan berlaku perselisihan dan peperangan, orang yang melihatnya lebih baik dari orang yang menyebabkannya ia berlaku.” (Hr Bukhari dan Muslim)

2. Fitnah bermaksud ujian dan cubaan

Nabi saw bersabda:

فاتقوا الدنيا واتقوا النساء فإن أول فتنة بني إسرائيل كانت في النساء

“Maka hendaklah kamu berwaspada terhadap dunia dan waspada terhadap wanita, sesungguhnya fitnah yang mula2 menimpa bani Israel adalah wanita.” (Hr Muslim)

3. Fitnah bermaksud melalaikan dan melekakan.

Hadis Nabi saw:

وإن كان ليسمع بكاء الصبي فيخفف مخافة ان تفتن أمه

“Sekiranya baginda mendengar tangisan bayi, baginda akan meringankan solatnya kerana bimbang ibunya akan terleka dengan tangisan ibunya.” (Hr Bukhari)

4. Fitnah bermaksud penyeksaan dan pembunuhan

Nabi saw bersabda:

كان الرجل يفتن في دينه إما قتلوه وإما يعذبونه

“Dahulu seorang lelaki di seksa kerana mempertahankan agamanya, samada orang-orang kafir membunuhnya atau menyeksanya.” (Hr Bukhari)

5. Fitnah bermaksud berlaku kemungkaran dan kemaksiatan.

Nabi saw bersabda:

إذا أتاكم من ترضون خلقه ودينه فزوجوه إلا تكن فتنة في الأرض وفساد عريض

“Apabila datang seorang lelaki yang baik agama dan akhlaknya melamar anak mu maka hendaklah kamu kahwininya dengan anak mu. Kalau tidak, akan berlaku kemungkaran dan kerosakan yang besar di muka bumi.” (Hr Ibnu Majah)

6. Fitnah bermaksud memaksa untuk kembali kufur.

Nabi bersyair ketika menggali parit di peperangan khandak:

إن الأعداء قد بغوا علينا إذا أرادوا فتنة أبينا 

“Sesungguhnya musuh-musuh telah menganiaya kami. sekiranya mereka hendak memaksa kami kembali kufur, kami enggan. (Hr Bukhari dan Muslim)

7. Fitnah bermaksud menjauhkan dari agama

Nabi saw bersabda kepada Muaz ra:

يا معاذ أفتان أنت؟

“Wahai Muaz adakah engkau hendak menyebabkan manusia lari dari ajaran agamanya?” (Hr Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan: Fitnah mempunyai pelbagai makna dan maksud di dalam Quran dan hadis Rasulullah saw. Orang melayu selalu menggunakan fitnah untuk makna tuduhan, sehinggakan mentafsirkan kalimah fitnah ayat berikut dengan tuduhan palsu, sedangkan maknanya adalah syirik:

والفتنة أشد من القتل

“Syirik lebih dahsyat dosanya daripada membunuh.” (191 : al-Baqarah)

Banyak di kalangan orang melayu termasuk ustaz2 yang mentafsirkan fitnah kepada tuduhan yang tidak benar. Sedangkan tidak ada fitnah yang bermaksud tuduhan dalam Quran, hadis dan bahasa arab. Ini satu pentafsiran mengikut hawa nafsu. Nabi saw bersabda:

من قال في القرأن برأيه أو بما لم يعلم فليتبوأ مقعده من النار

“Sesiapa yang berkata tentang quran dengan akal fikirannya atau apa yang dia tidak tahu ilmu tentangnya maka hendaklah menempati tempatnya di neraka.” (Hr Tirmizi)

Firman Allah swt:

أو تقولوا على الله ما لا تعلمون

“… Allah mengharamkan kamu bercakap tentang Allah apa yang kamu tidak tahu.” (33 : al-Araf)

Berhati2lah ketika kita mentafsirkan al-Quran kerana ia adalah kalamullah. Kita tidak boleh mentafsirkan sendiri dan kita hendaklah hanya mengambil dari para pentafsir yang muktabar.

Rujukan: Sofawatut Tafasir oleh Sobuni, Tafsir Ibnu Kathir dan al-Fitnah oleh Dr Ibrahim ad-Darwisy.

Monday, January 10, 2011

HUKUM MUZIK, NYANYIAN & NASYID


MUKADDIMAH
Nyanyian tidak lain hanyalah antara satu dari kebaikan dunia yang dinikmati oleh jiwa manusia, kemudiannya di manfaatkan oleh Akal sbg penyegar minda, disenangi oleh 'fitrah' (kebiasaan) manusia dan senang pula ia didengari sehingga menjadi sebahagian dari nikmat Allah kepada deria pendengaran kita, sebagaimana makanan dan minuman yang enak itu menjadi nikmat kepada tekak dan perut kita, juga sebagaimana pemandangan yang indah menjadi nikmat kepada mata, tatkala bau-bau haruman serta wangian pula menjadi nikmat bagi deria bau kita.

Tidak ada satu kebaikan yang terdapat dalam Islam yang mana jika ia bermanfaat kepada jiwa dan akal yang sihat melainkan semuanya dihalalkan oleh Allah Swt sebagai rahmat-Nya kepada manusia.Tidak ada seorang pun yang boleh mengharamkan segala kebaikan yang telah dihalalkan oleh Allah Swt sebagaimana yang terdapat dalam ayatnya dalam Firman Allah (Surah Al-Maidah: Ayat4): Mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad, apakah yang halal bagi mereka? Maka katakanlah: "Dihalalkan kepada kamu segala sesuatu yang baik..."

Bukti bahawa nyanyian merdu itu amat dekat kepada fitrah jiwa manusia adalah ketika terhentinya tangisan seorang bayi di dalam buaian ibunya apabila ibunya bersenandungkan lagu untuknya. Bukan sekadar manusia sahaja yang akan terpesona dengan bunyian atau nyanyian yang merdu, malah burung-burung dan haiwan ternakan juga dilihat mengalami situasi 'terpesona' yang sama apabila mendengar sesuatu suara yang merdu dan senandung yang mendayu-dayu. 

Al-Imam Al-Ghazali pernah menegaskan dalam Ihya' Ulummudinnya bahawa"orang yang tidak tersentuh hatinya kerana mendengar nyanyian yang merdu adalah orang yang kurang dan tidak normal" Orang yang seperti itu (yang tidak tersentuh kepada irama dan nyanyian) adalah jauh dari hal-hal yang bersifat rohani (batin/jiwa) dan mereka ini juga tidak peka terhadap sesuatu.

Persoalannya: Jika kecenderungan manusia terhadap irama muzik, lagu dan nyanyian itu menjadi antara faktor penting kepada dorongan hati dan fitrah semulajadi manusia ciptaan Allah itu. Apakah wajar agama itu datang untuk memerangi sesuatu yang disukai naluri manusia (yang memang diciptakan Allah sedemikian) dan menimpakan bencana kepada mereka?

Jawapannya: Sama sekali tidak. Agama itu datang untuk mendidik, mengasuh, mengangkat dan menjuruskan kita kepada kebenaran. Al-Imam Ibn Taimiyah pernah menyatakan "Sesungguhnya para Nabi itu diutuskan Allah bagi menyempurnakan akhlak, fitrah manusia dan kemudian memantapkannya lagi, bukannya untuk menukar ganti serta merubah sesuatu kepada yang baru".

Insiden ketika Rasulullah Saw datang ke Madinah, ketika itu penduduk Madinah telah dua hari berpesta, bermain dan bergembira. Lantas Rasulullah Saw bersabda (bertanya): "Untuk apa anda gunakan selama dua hari ini?"

Mereka menjawab:"Untuk kami bermain dan bersuka ria kerana permainan ini telah diwarisi turun temurun dari zaman Jahiliah lagi"

Kemudian Rasulullah Saw bersabda: "Sesungguhnya Allah Swt telah menggantikan untuk anda semua (dari permainan zaman jahiliah itu) dengan sesuatu yang lebih baik dari dua hari itu, yakni dua hari raya, Aidil Fitri dan Aidil Adha" Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasa'i

HUKUM NYANYIAN & MUZIK - adalah HARUS (tetapi dengan bersyarat)
Pelbagai pendapat ulama FIQH (Fekah) terhadap hukum nyanyian dan muzik dikemukakan dan kebanyakannya bersepakat untuk menetapkan bahawa hukum nyanyian dan muzik itu adalah HARUS, yakni harus yang bersyarat. Dimana, jika syarat-syarat itu (yang akan dinyatakan dibawah ini) tidak disempurnakan atau dipatuhi, maka hukum HARUS itu akan berubah menjadi HARAM mengikut lunas-lunas hukum dan peraturan Islam yang difirmankan Allah kepada kita.

SYARAT-SYARATNYA & SITUASI-SITUASI  YANG MERUBAH HUKUM HARUS KEPADA HARAM
  1. Nyanyian itu hendaklah dengan sopan santun Islam dan selaras pula denga ajarannya. Tidak boleh menyanyi dengan lirik yang 'lagha' seperti lirik yang pernah diungkap oleh Syauqi dan seangkatan dengannya (apa sahaja yang serupa atau bersamaan dengannya) "Ramadan telah berlalu, berilah dia minum hai tukang air" atau "Gadis rindu bergegas menuju kepada lelaki yang dirinduinya"Lebih berbahaya lagi jika lirik itu melibatkan iktikad kepada keimanannya yang ragu-ragu kepada perkara prinsip, tempat kembalinya kita dan kenabian seorang Nabi itu sebagaimana contoh qasidah Al-Talasim yang berbunyi:"Aku telah datang, aku tidak tahu dari mana, tetapi aku telah datang. Aku telah melihat jalan dihadapanku, lalu aku berjalan. Bagaimana aku datang?. Bagaimana aku melihat jalan? Aku tidak tahu". Kesemua ini adalah antara contoh ianya akan bertukar dari harus kepada haram. Nyanyian yang kesemua atau sebahagian lirik lagunya didapati bertentangan dengan ajaran Islam juga adalah diharamkan. Begitu juga nyanyian memuji dan menyanjung pemerintah yang zalim, pemerintah yang melampaui batas dan pemerintah yang fasiq. Islam mengutuk orang yang zalim, pembantu-pembantu mereka dan orang-orang yang diam melihat kezaliman mereka. Begitu juga diharamkan semua lirik lagu dan nyanyian yang menyanjung wanita bermata keranjang atau nyanyian yang bertentangan dengan adab sopan santun Islam yang mana Firman-Nya menyeru sebagaimana Firman Allah (Surah An-Nur:Ayat 30): Katakanlah kepada lelaki yang beriman, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka (dari wanita yang bukan mahram/ ajnabi) dan Firman Allah (Surah An-Nur:Ayat 31): Katakanlah kepada kaum wanita yang beriman, hendaklah mereka menutup pandangan mereka (dari perkara yang tidak baik dan lelaki yang bukan mahram).
  2. HARAM jika nyanyian itu disampaikan oleh wanita (bukan mahram) yang diharamkan Allah bagi lelaki lain memandangnya kerana bimbang akan berlaku fitnah. Di situasi ini bukan nyanyian yang dilarang tetapi keadaan wanita yang menyanyi itu yang boleh mendatangkan ghairah 'nafsu seks' peminatnya dan menjadi fitnah kepada agama Allah. Menurut Imam Al-Ghazali larangan mendengar nyanyian dengan alasan bimbang berlaku fitnah (perkara yang tidak bermoral dan segala macam gejala sosial) adalah pendapat yang kuat. Walaupun Rasulullah Saw pernah berhadapan situasi yang sama apabila dua orang penyanyi wanita menyanyi di rumah Aisyah r.a., Rasulullah Saw tidak menjauhinya kerana Baginda tidak bimbang berlaku fitnah ke atas dirinya kerana Rasulullah Saw itu maksum (terlindung dari sebarang perbuatan dosa oleh Allah Swt). Peristiwa ini menunjukan bahawa situasi Rasulullah Saw dengan situasi kita pada hari ini adalah sangat ketara bezanya.
  3. HARAM jika muzik yang dimainkan itu termasuk simbol kepada muda mudi terhadap wanita atau mampu mempengaruhi penghayatan peminum arak dan penagih dadah untuk mengekalkan tabiat mereka itu seperti alunan petikan gitar dan tiupan seruling yang mendayu-dayu, maka ia akan berubah kepada haram, walaupun pada permulaannya hukum bagi alat muzik itu adalah harus.
  4. HARAM jika nyanyian itu mempunyai kata-kata kesat, kotor dan keji serta cercaan yang mendustakan Allah, Rasulullah dan para sahabatnya sebagaimana syair golongan Rafidhah yang jelas mencela para sahabat dan lain-lain.
  5. HARAM jika nyanyian itu mencerminkan atau menceritakan tentang keangkuhan kaum wanita dihadapan kaum lelaki seperti lagu 'Tamparan Wanita' atau lain-lain lirik yang serupa dan menyamai dengannya.
  6. HARAM jika lagu itu menyebabkan kita berkhayal tentang seseorang samada lelaki atau wanita tertentu yang bukan suami atau isteri kepadanya, yang sah jika berkahwin dengannya kerana perbuatan berkhayal kepada yang bukan hak itu adalah maksiat yang dilakukan melalui kaedah khayalan dan fikiran. Harus pula jika ia mengkhayalkan wanita atau lelaki yang telah halal kepadanya.
  7. HARAM jika orang yang mendengar nyanyian itu masih muda dan mudah dirangsang oleh nafsu syahwatnya. Ini biasa berlaku kepada mereka yang masih remaja, yang masih belum tahu menilai dan membuat pertimbangan terhadap halal haramnya suatu perhubungan cinta dengan pasangannya.
  8. HARAM jika kita membiasakan diri dan dengannya kita menjadi ketagih atau menjadikannya nyanyian itu sebagai rutin harian kehidupan. Jika semua ini dilakukan secara berterusan akan menjadikan ia makruh dan amat dibenci Allah. Jadi, semua perkara berhubung lagu, muzik dan nyanyian yang pada asal hukumnya adalah harus itu tidak akan kekal sebagai harus apabila ianya dilakukan secara berlebih-lebihan.
  9. HARAM jika dengan muzik, nyanyian atau lirik sesuatu lagu itu boleh menyumbang kepada berkumpulnya lelaki dan wanita yang bukan mahram dalam satu konsert yang menyebabkan berlakunya pergaulan bebas dan berseronok tanpa batasan agama.
Ibnu Majah meriwayatkan sebuah hadis dari Abi Malik Al-Asyaari bahawaRasulullah Saw bersabda: "Akan ada satu golongan dari kalangan umatku yang akan meminum arak yang mereka namakan dengan nama lain (black label, whisky, champagne dan sebagainya), bermain dengan alat-alat muzik bersama dengan penyanyi-penyanyi wanita. Allah Swt akan menenggelamkan mereka ke dalam tanah (apabila dia mati dan telah dikebumikan kelak), dan merubah rupa paras mereka menjadi seperti kera-kera (monyet) dan khinzir-khinzir (babi)". Ibn Hibban meriwayatkan hadis yang sama dalam 'Shahih'nya dan begitu juga Imam Bukhari meriwayatkannya dalam 'Tarikh'nya.

KESIMPULANNYA
Saudara dan Saudari, Muslimin dan Muslimat yang saya kasihi, MAMPUKAH KITA mengelak atau mengetepikan syarat-syarat yang JELAS di atas bagi mengharuskan kita menikmati nyanyian? Jika kita mampu melaksanakan syarat-syarat di atas, maka tidaklah menjadi HARAM kepada kita mendengar nyanyian.

Harus di ingat bahawa kaitan dosa ke atas sesuatu perbuatan yang hukumnya HARAM adalah seperti kaitan berhubung haramnya arak. Peminum, tukang proses, pengilang, pengedar, orang yang menyediakan pengangkutan dan orang yang menghantar arak kepada peminumnya dan apa sahaja aktiviti yang menyumbang kepada bantuan kepada penggunaan arak adalah dilaknati Allah Swt.

Kalau dalam muzik, pendengar (kita), pembeli CD (kita), penonton konsert (kita), penyanyi, pencipta lagu, penulis lirik, pemuzik, syarikat rakaman, pengedar, pencetak CD, pekerja studio rakaman dan semua yang berkaitan dengannya adalah turut mendapat laknat Allah Taala jika kita GAGAL mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di atas bagi mengharuskan kita kepada Muzik dan Nyanyian. WASSALAM.