Monday, April 25, 2011

Berdoalah Terus Kepada Allah

  

Daripada Abdullah ibn Abbas ra, bahawa Rasulullah pernah berdoa: "Ya Allah aku berserah kepada engkau, aku beriman kepada engkau, aku bertawakal kepada engkau, aku kembali kepada engkau dan aku berjuang kerana engkau. Ya Allah, aku berlindung dengan kemuliaan dan kekuatan engkau, tiada Tuhan yang aku sembah melainkan engkau, janganlah aku disesatkan. Engkau yang hidup dan tidak akan mati sedangkan jin dan manusia semuanya akan mati (Muttafiqun alaih)". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ANTARA tanda kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia tidak mewujudkan sebarang halangan untuk seorang hamba memohon kepada-Nya. Insan diperintahkan berhubung langsung dengan Allah tanpa sebarang 'broker' dalam hubungan yang suci itu. Tiada sebarang perantaraan antara Allah dan hamba-hamba-Nya.

Islam menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk sebagai tuhan jelmaan menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap perbuatan memohon kemakbulan doa dari makhluk adalah syirik. Tidak kira siapa pun makhluk itu. Sama ada dia nabi ataupun wali.

Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya!

Perbuatan itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta doa daripada Allah. Firman Allah: (maksudnya)

Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalan pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka (surah al- Ahqaf: 5-6).

Firman Allah: (maksudnya)

Allah jua yang memasukkan malam kepada siang dan memasukkan siang kepada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang kamu sembah selain Allah itu tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan pemohonan kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu (Wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha mendalam pengetahuan-Nya (surah Fatir: 13-14).

Maka perbuatan memohon selain Allah, sama ada menyeru berhala secara terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau wali 'songo' atau apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang diharamkan oleh nas- nas al-Quran dan al-sunah.

Nabi s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini. Daripada Ibn 'Abbas:

"Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: "Apa yang Allah dan engkau kehendaki." Maka baginda bersabda kepadanya: Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki. (Riwayat al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/266).

Bandingkanlah ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru tarekat atau sufi yang mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri mereka agar dikagumi oleh pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan yang disembah, atau wakil Tuhan yang menentukan penerimaan atau penolakan amalan pengikutnya. Bahkan untung rugi nasib masa depan pengikut pun seakan berada di tangan mereka.

Demikian juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh agama, akhirnya boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja tokoh seperti itulah yang menyebabkan banyak individu dianggap keramat dan suci sehingga dipanggil 'tok keramat' lalu mereka seakan dimaksumkan. Kemudian, datang pula orang-orang jahil ke kubur mereka membayar nazar atau meminta hajat mereka ditunaikan. Sehingga apabila saya ke Urumuqi di China, ada satu gua yang kononnya dianggap tempat Ashabul Kahfi yang disebut dalam al-Quran itu.

Ramai yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ. Saya beritahu bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang didakwa kononnya tempat Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan lain-lain. Semuanya dakwaan tanpa bukti. Sama juga kononnya tempat-tempat sejarah nabi yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tiada petunjuk yang dapat memastikan ketulenannya.

Jika pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat. Inilah yang terjadi kepada Nabi Isa. Dari seorang nabi yang diutuskan, akhirnya manusia menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat daripada orang-orang agama atau soleh setelah mereka mati adalah syirik. Islam tidak kenal perkara seperti itu. Islam tulen bebas dari segala unsur kebodohan tidak bertebing itu.

Ada yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah orang yang dekat dengan Allah, kita ini jauh. Maka kita gunakan perantaraan mereka. Macam kita hendak dekat dengan menteri atau raja. Saya kata kepada mereka: Adakah awak menganggap Allah itu sama dengan tabiat raja atau menteri awak? Dakwaan inilah yang disanggah oleh al-Quran sekeras-kerasnya.

Sumber Text: Dr.Maza

أَلَا لِلَّهِ ٱلدِّينُ ٱلۡخَالِصُ‌ۚ وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ مِن دُونِهِۦۤ أَوۡلِيَآءَ مَا نَعۡبُدُهُمۡ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلۡفَىٰٓ إِنَّ ٱللَّهَ يَحۡكُمُ بَيۡنَهُمۡ فِى مَا هُمۡ فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِى مَنۡ هُوَ كَـٰذِبٌ۬ ڪَفَّارٌ۬
ngatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik) dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya, sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)
(Surah Az-Zumar 39: Ayat ke 3)




Friday, April 1, 2011

Doa mudah faham dan hafal




Wahai tuhan,Kurniakanlah kami fahaman nabi-nabi dan

hafalan para rasul serta mendapat ilham dari para

malaikat yang hampir dengan-Mu. Juga kurniakanlah

kami

kesihatan wahai Yang Amat Mengasihani.



Baginda Rasulullah SAW bersabda:

"sesiapa membaca selawat untukku pada hari Jumaat

seratus kali, maka akan mendapat nur pada hari

kiamatyang sekiranya nur itu dibahagikan kepada

semua

makhluk pasti akan cukup bagi mereka semua"(Riwayat

Abu Naim)

Baginda Rasulullah SAW bersabda:

"jikalau ada 3 orang yang keluar bermusafir, maka

hendaklah mereka mengangkat seorang dikalangan

mereka

sendiri untuk menjadi pemimpin."(riwayat Abu Daud)



Doa waktu petang:

Ya ALlah, kerana Engkau kami mengalami waktu petang

dan pagi dan kerana Engkau kami hidup dan mati dan

kepadaMU jua kami kembali.



Baginda Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila kamu solat, maka tinggikanlah bahagian

bawah

kakimu, kerana sesungguhnya yang mengenai tanah di

bawah kakimu adalah neraka"(Hassan R.

Bukhari&Thabraani)



Musuh-musuh umat Islam:

1. Syaitan

2. Nafsu

3. Kaum kafir

4. Golongan Munafik

5. Golongan mukmin sendiri yang burk sangka mukmin

lain.



Doa kecantikan diri:

Ya Allah, kayakanlah aku dengan ilmu, hiasilah

diriku

dengan sifat lemah-lembut, muliakanlah aku dengan

taqwa dan cantiklah diriku dengan kesihatan.



Syarat-syarat yang akan di tempatkan di Jannatul

Firdaus:

1. khusyuk dalam bersolat(ibadah)

2. amanah dan tepati janji

3. jaga shahwat

4. mengeluarkan zakat

5. menjaga waktu solat(solat awal waktu)

6. Jauhi perbuatan lagha (mensia-siakan)



BAginda Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila 2 orang muslim itu bertemu lalu keduanya

berjabat tangan memuji Allah dan memohon

keampunannya,

maka keduanya diampuni"

(Hassan R. Abu Dawud)



Rasulullah SAW bersabda:

"sesiapa yang mendirikan solat pada malam Ramadhan

kerana iman dan Allah, maka Allah akam mengampunkan

dosa-dosanya yang telah lalu." (sahih Muslim)



Semoga sedikit panduan ini dapat dijadikan tatapan

saudara/i untuk hari ini dan akhirat kelak serta

menjadi titik tolak untuk kita teruskan beribadah

kepadaNya.InsyaAllah.

Saturday, March 5, 2011

Pemilikan Hakiki

 alt
"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi..." (Surah Al-Baqarah: 284)
"...Kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi..." (Surah Al-Munaafiquun:7)
Merasa bahawa kita memiliki sesuatu secara mutlak akan mengundang kesengsaraan jiwa kerana apa yang ada pada kita itu boleh hilang pada bila-bila masa sahaja. Justeru, kita tidak akan redha atau berpuas hati dengan sebuah kehilangan, dan akan menjadi tertipu dengan sebuah pemilikan yang sementara.
Kita tidak memiliki apa-apa dan kita juga bukan milik siapa-siapa selain Dia. Allah lah yang memiliki jiwa-jiwa kita dan segala yang ada di langit dan di bumi. Sedarlah bahawa kita akan kembali, kerana pemilikan Dia adalah sebuah pemilikan tunggal, hakiki dan abadi.
Adapun istilah "milik" yang kita gunakan dalam pembicaraan sehari-hari itu hanyalah sebuah kata yang hakikatnya merujuk kepada sesuatu yang dianugerahkan Allah kepada kita buat sementara, sebagai pinjaman. Setiap sesuatu yang diberikan kepada kita untuk dimiliki di dunia ini pasti akan hilang apabila Dia menentukannya.
Tidak ada sesuatu pun yang berada di atas muka bumi ini yang terlepas daripada pemilikan Allah. Semuanya adalah kepunyaan-Nya secara mutlak, dan hanya Dia yang berhak menentukan dan mengizinkan sesuatu itu berlaku terhadap segala isi bumi. Dia adalah pemilik mutlak yang tunggal, yang mengatur segala perjalanan dunia ini.
"Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arsy daripada apa yang mereka sifatkan." ( Surah Al-Anbiyaa':22)
Atas kesedaran bahawa kita adalah milik Allah, kita harus mengembalikan segala urusan kepada Allah. Hanya dia yang berkuasa memberikan keputusan terhadap diri kita. Hanya dia yang tahu apa terbaik untuk kita lalu memerintahkannya, dan apa yang buruk untuk kita lalu melarangnya.
Apabila Dia memiliki kita, adakah kita punya hak untuk menentang? Setelah seorang tuan memiliki seorang hamba, tugas seorang hamba adalah ikut dan tunduk patuh kepada tuannya dengan ketaatan yang tiada berbelah bahagi.
Segalanya yang kita miliki adalah milik mutlak Allah. Sekalipun kita merasa teramat sayang terhadapnya, ia tetap akan kembali kepada Allah. Isteri atau suami adalah anugerah Allah. Kita memilikinya hanya untuk sementara dalam melayari perjalanan di atas muka bumi. Bila-bila masa sahaja Allah boleh mengambilnya daripada kita tanpa perlu meminta persetujuan atau kebenaran kita, kerana sememangnya itu adalah miliknya.
Anak-anak adalah anugerah bernilai daripada Allah untuk sementara dan kita takkan selama-lamanya bersama mereka. Kemungkinan Allah memanggil kita kembali sebelum mereka, atau mereka yang diambil pergi.
Harta adalah kurniaan Allah. Apa jua cara ia luput daripada kita bukan permasalahannya. Intinya adalah ia pasti akan luput sedikit demi sedikit kerana Allah yang memberikan kita harta dan Dia menghilangkan daripada kita sepertimana yang dikehendaki-Nya. Hatta jiwa kita adalah hak mutlak Allah dan pasti kembali kepada-Nya. Apa yang tidak menjadi milik-Nya daripada sekian perkara yang kita 'miliki'? Semuanya, adalah kepunyaan Dia.
"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi..." (Surah al-Baqarah: 284)
Jika kita adalah pemilik mutlak kepada sesuatu, maka semestinya kita boleh menghalang ia hilang daripada kita. Kita pasti tidak akan pernah mampu berbuat demikian. Kita mungkin boleh berbicara dengan yakin, bahawa kita memiliki sesuatu secara pasti, namun kita akan tersadung apabila takdir Allah mendahului kehendak kita.
Hilang, lenyap, luput, mati, tamat, semuanya akan berlaku dan kita sedikit pun tidak dapat menghalangnya. Takut kehilangan dan berusaha untuk terus memiliki sesuatu adalah tanda yang jelas bahawa kita tidak memiliki sesuatu tersebut. Jika kita memilikinya, kita takkan pernah bimbang dan takut.
Dalam memahami pemilikan hakiki ini, Islam mengajar kita untuk bersikap sederhana dalam segala sesuatu. Apabila kita mencintai, janganlah sehingga melampaui batas dan ingin mendahului ketentuan Allah. Apabila kita memiliki sesuatu harta (yang hakikatnya adalah pinjaman), janganlah terlalu bakhil untuk menginfak di jalan Allah. Islam tidak melarang kita daripada berusaha untuk mendapatkan kurnia daripada Allah, kerana dia memberi apabila dia berkenan.
Apa yang paling penting adalah menyerap makna pemilikan hakiki oleh Dia dan tidak merasakan bahawa kita adalah pemilik mutlak kepada segala sesuatu. Dia adalah pemilik dan kita adalah peminjam, kitalah yang berhajat kepada apa yang menjadi milik-Nya, dan dia sama sekali tidak rugi dengan apa yang diberikan-Nya kepada kita.
"Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji." (Al-Fathir: 15)
Kita selalu merasa ingin memiliki sesuatu. Apabila kita telah memilikinya, kita selalu ingin agar ia tidak luput daripada kita. Kita selalu lupa bahawa ia adalah pinjaman yang pasti diambil kembali. Hai jiwa yang sering tidak puas dengan apa yang ada, dan sentiasa mengejar sesuatu yang bukan milik kita, sedarlah bahawa Dia adalah pemilik hakiki segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi. Apabila engkau meminta, mintalah kepada Dia. Apabila engkau ingin memberi, berilah kerana Dia.
Wallahua'lam.

Apabila kita ketagih hiburan

 alt

Hiburan. Istilahnya sahaja sudah menyeronokkan kerana ia mengingatkan kita untuk relaks dan bersantai. Menurut Kamus DBP, hiburan itu sesuatu yang menyukakan dan menggembirakan hati. Ia juga adalah sesuatu yang menyeronokkan yang mampu mengalih perhatian, mengikut Kamus Merriam-Webster pula. Melihat kepada maknanya, hiburan itu suatu aktiviti yang ringan.
Namun, oleh kerana ia menggembirakan, maka hiburan menjadi rekreasi kegemaran yang akan dilakukan oleh kebanyakan daripada kita. Meskipun pada mulanya hiburan adalah sesuatu yang sampingan, oleh kerana ia menjadi minat manusia yang meluas, maka hiburan menjelma menjadi satu industri.
Sedangkan revolusi industri di United Kingdom pada kurun ke-18 dan ke-19 yang telah mengubah sama sekali sosio-budaya dan sosio-ekonomi manusia, hiburan tidak pernah menjadi pilihan manusia untuk dikembangkan. Sebaliknya, bidang pertanian, pengeluaran, perlombongan, pengangkutan dan juga teknologi yang menjadi penjana asal revolusi industri itu.
Hiburan yang berupa acara sampingan, kini sudah menjadi acara utama kerana hiburan menjenguk dan mencelah di mana-mana, pada setiap ruang dan ketika. Kita bangun pagi bukan lagi kerana mendengar kokokan ayam, tetapi bila muzik rancak berkumandang daripada jam di telefon bimbit.
Apabila memutar ke stesyen radio, kita mendengar celoteh juruhebah yang lebih gemar memperkatakan topik-topik yang lawak hingga kita tertawa. Kita sudah tidak mendengar juruhebah yang memperingat kita dengan informasi atau menasihati kita kata-kata hikmat. Lawak hanya menghiburkan. Ia tidak akan membahagiakan seperti mendengar kata-kata hikmat.
Di akhbar-akhbar, berita-berita tentang ekonomi, masalah sosial dan bisnes jarang sekali dipilih menjadi tajuk utama. Sebaliknya berita-berita orang-orang politik yang berpolemik, cerita sensasi dan berbaur seks lebih mendapat tempat kerana ia berunsur hiburan. Di televisyen juga, drama, program realiti, konsert dan peragaan fesyen didapati lebih banyak daripada program-program berupa informasi, penyelidikan dan keilmuan.
Apabila kita membuka internet, terdapat berjuta-juta gerbang dan laman berupa hiburan hinggakan kita terlupa menjadikan komputer sebagai alat untuk memperoleh ilmu, bukannya untuk mendapat hiburan. Hiburan kini muncul di mana-mana. Hinggakan kita bukan lagi memilih hiburan untuk merehatkan fikiran, tetapi kita terpaksa memilihnya kerana ia dipersembahkan dalam beranika bentuk. Justeru itu, kita dileka dan dilalaikan. Tanpa kita sedari, kita tidak boleh hidup tanpa hiburan barang seketika.
Santapan rohani kita bukan lagi solat, zikir dan tafakur. Bukan lagi melihat mentari senja terbenam, atau melihat sekawan burung berterbangan pulang ke sarang. Sebaliknya santapan rohani kita adalah persembahan yang tentunya mengandungi muzik yang bergemuruh bunyinya dan cerita tahyul yang menakutkan hingga ia memberi kesan terhadap tabiat tidur kita.
Santapan jasmani kita bukan lagi pergi ke hutan memikat burung, berlari di sawah dengan berkaki ayam atau berperahu mudik ke kuala. Santapan jasmani kita adalah tarian yang diiringi muzik yang membingitkan. Kalau adapun yang bersukan, jumlah yang menjadi penontonnya lebih ramai daripada yang beraksi di padang atau gelanggang.
Santapan minda kita bukan lagi bahan bacaan yang mendatangkan manfaat, tetapi santapan minda kita adalah bahan bacaan yang bukannya fakta tetapi fitnah, bukannya celoteh tetapi cercaan, bukannya berita tetapi hampas cerita yang sudah dibaca berulangkali sama ada di majalah mahupun di internet.
Sebenarnya, hiburan itu bagus jika ia dinikmati secara sambilan. Ia sampingan, bukan keutamaan. Ia sepatutnya merehatkan, bukannya meleka dan melalaikan. Sebaliknya, jika kita nikmati hiburan tidak tentu masanya, kita menjadi akibat dilolokkan. Akhirnya, kita menjadi manusia hedonis ~ manusia yang suka berseronok di sepanjang masa. Sedangkan keseronokan itu bukannya kebahagiaan.
Kerana keseronokan selalunya seketika.
Kebahagiaan lazimnya berpanjangan.

Friday, January 14, 2011

Pengertian Fitnah menurut al-Quran dan Sunnah


MAKNA FITNAH DARI SEGI BAHASA DAN ISTILAH

Kalimah Fitnah الفتنة dalam bahasa arab bermaksud: Ujian dan cubaan.

Imam Ibnu Hajar berkata : Asal kepada makna fitnah adalah الإختبار (ujian) dan الإمتحان )ujian)

Ibnu Manzur berkata: Al-Azhari dan lainnya berkata:

“Asal makna fitnah adalah الإبتلاء (cubaan), الإمتحان (Ujian) dan الإختبار (ujian).”

Adapun dari segi istilah ulama adalah seperti yang didefinasikan oleh Jurjani:

“Perkara yang dilakukan untuk mengetahui kebaikan atau keburukan sesuatu.”

FITNAH DALAM QURAN

Makna fitnah dalam Quran adala berbeza. Ianya seumpa berikut:

1. Fitnah bermaksud Syirik. 

Firman Allah :

والفتنة أشد من القتل

“Syirik lebih dahsyat dosanya daripada membunuh.” (191 : al-Baqarah)

وقاتلوهم حتى لا تكون فتنة

“Dan perangilah mereka supaya tidak berlakunya syirik.” (193 : al-Baqarah)

والفتنة اكبر من القتل

“dan Syirik lebih besar dosanya dari membunuh.” (217 : al-Baqarah)

2. Fitnah dengan makna ujian dan cobaan.

Firman Allah:

وفتناك فتونا

“Dan kami uji kamu (Nabi Musa) dengan pelbagai ujian yang besar.” (40 : Toha)

ولقد فتنا الذين من قبلهم 

“Dan sesungguhnya kami telah menguji ummat yang terdahulu.” (3 : al-Ankabut)

3. Fitnah bermaksud seksa 

Firman Allah:

إن الذين فتنوا المؤمنين والمؤمنات

“Sesungguhnya orang-orang yang menyeksa orang-orang beriman lelaki dan perempuan … “

Begitu juga makna fitnah pada ayat 10 surah al-Ankabut, ayat 14 surah az-Zariat dan ayat 110 surah an-Nahl.

4. Fitnah bermaksud dosa. 

Firman Allah:

ومنهم من يقول ائذن لي ولا تفتني ألا في الفتنة سقطوا

“Dan sebahagian mereka ada yang berkata “izinkanlah aku untuk tidak berperang dan janganlah menyebabkan aku berbuat dosa. Ketahuilah mereka telah terjebak dalam dosa (dengan tidak mahu pergi berperang).” (49 : at-Taubah)

5. Fitnah bermaksud kekufuran.

Firman Allah:

لقد ابنغوا الفتنة

“Sesungguhnya mereka inginkan kekufuran.” (48 : at-Taubah)

Begitu juga fitnah dalam ayat 7 surah Ali imran.

6. Fitnah bermaksud pembunuhan dan kebinasaan.

Firman Allah:

إن خفتم أن يفتنكم الذين كفروا

“Sekiranya kamu takut orang-orang kafir membunuh kamu.” (101 : an-Nisa)

Begitu juga fitnah pada ayat 83 surah Yunus.

7. Fitnah bermaksud berpaling dari jalan yang benar.

Firman Allah:

واحذرهم أن يفتنوك

“Dan berwaspadalah dari mereka yang hendak memesongkan kamu dari jalan kebenaran.” ( 49 : Maidah)

Begitu juga dalam ayat 73 surah al-Isra.

8. Fitnah bermaksud sesat.

Firman Allah :

ومن يرد الله فتنته

“Dan sesiapa yang Allah hendak menyesatkannya.” (41 : al-Maidah)

Begitu juga fitnah dalam ayat 162 surah as-Soffat.

9. Fitnah bermaksud alasan.

Firman Allah :

ثم لم تكن فتنتهم إلا أن قالوا والله ربنا ما كنا مشركين

“kemudian tidaklah ada alasan mereka melainkan mereka berkata “Demi Allah wahai tuhan kami, kami bukannya orang-orang musyrikin.” (23 : al-An’am)

Sebahgian tafsir menyatakan fitnah disini bermaksud jawapan.

10. Fitnah bermaksud gila

فستبصر ويبصرون بأيكم المفتون

“Maka kamu akan lihat hai Muhammad dan mereka akan lihat siapakah yang gila.” (6 : al-Qalam)

FITNAH DALAM HADIS

1. Fitnah bermaksud perselisihan dan peperangan

Nabi saw bersabda:

ستكون فتن القاعد فيها خير من القائم

“Akan berlaku perselisihan dan peperangan, orang yang melihatnya lebih baik dari orang yang menyebabkannya ia berlaku.” (Hr Bukhari dan Muslim)

2. Fitnah bermaksud ujian dan cubaan

Nabi saw bersabda:

فاتقوا الدنيا واتقوا النساء فإن أول فتنة بني إسرائيل كانت في النساء

“Maka hendaklah kamu berwaspada terhadap dunia dan waspada terhadap wanita, sesungguhnya fitnah yang mula2 menimpa bani Israel adalah wanita.” (Hr Muslim)

3. Fitnah bermaksud melalaikan dan melekakan.

Hadis Nabi saw:

وإن كان ليسمع بكاء الصبي فيخفف مخافة ان تفتن أمه

“Sekiranya baginda mendengar tangisan bayi, baginda akan meringankan solatnya kerana bimbang ibunya akan terleka dengan tangisan ibunya.” (Hr Bukhari)

4. Fitnah bermaksud penyeksaan dan pembunuhan

Nabi saw bersabda:

كان الرجل يفتن في دينه إما قتلوه وإما يعذبونه

“Dahulu seorang lelaki di seksa kerana mempertahankan agamanya, samada orang-orang kafir membunuhnya atau menyeksanya.” (Hr Bukhari)

5. Fitnah bermaksud berlaku kemungkaran dan kemaksiatan.

Nabi saw bersabda:

إذا أتاكم من ترضون خلقه ودينه فزوجوه إلا تكن فتنة في الأرض وفساد عريض

“Apabila datang seorang lelaki yang baik agama dan akhlaknya melamar anak mu maka hendaklah kamu kahwininya dengan anak mu. Kalau tidak, akan berlaku kemungkaran dan kerosakan yang besar di muka bumi.” (Hr Ibnu Majah)

6. Fitnah bermaksud memaksa untuk kembali kufur.

Nabi bersyair ketika menggali parit di peperangan khandak:

إن الأعداء قد بغوا علينا إذا أرادوا فتنة أبينا 

“Sesungguhnya musuh-musuh telah menganiaya kami. sekiranya mereka hendak memaksa kami kembali kufur, kami enggan. (Hr Bukhari dan Muslim)

7. Fitnah bermaksud menjauhkan dari agama

Nabi saw bersabda kepada Muaz ra:

يا معاذ أفتان أنت؟

“Wahai Muaz adakah engkau hendak menyebabkan manusia lari dari ajaran agamanya?” (Hr Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan: Fitnah mempunyai pelbagai makna dan maksud di dalam Quran dan hadis Rasulullah saw. Orang melayu selalu menggunakan fitnah untuk makna tuduhan, sehinggakan mentafsirkan kalimah fitnah ayat berikut dengan tuduhan palsu, sedangkan maknanya adalah syirik:

والفتنة أشد من القتل

“Syirik lebih dahsyat dosanya daripada membunuh.” (191 : al-Baqarah)

Banyak di kalangan orang melayu termasuk ustaz2 yang mentafsirkan fitnah kepada tuduhan yang tidak benar. Sedangkan tidak ada fitnah yang bermaksud tuduhan dalam Quran, hadis dan bahasa arab. Ini satu pentafsiran mengikut hawa nafsu. Nabi saw bersabda:

من قال في القرأن برأيه أو بما لم يعلم فليتبوأ مقعده من النار

“Sesiapa yang berkata tentang quran dengan akal fikirannya atau apa yang dia tidak tahu ilmu tentangnya maka hendaklah menempati tempatnya di neraka.” (Hr Tirmizi)

Firman Allah swt:

أو تقولوا على الله ما لا تعلمون

“… Allah mengharamkan kamu bercakap tentang Allah apa yang kamu tidak tahu.” (33 : al-Araf)

Berhati2lah ketika kita mentafsirkan al-Quran kerana ia adalah kalamullah. Kita tidak boleh mentafsirkan sendiri dan kita hendaklah hanya mengambil dari para pentafsir yang muktabar.

Rujukan: Sofawatut Tafasir oleh Sobuni, Tafsir Ibnu Kathir dan al-Fitnah oleh Dr Ibrahim ad-Darwisy.