Saturday, March 5, 2011

Pemilikan Hakiki

 alt
"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi..." (Surah Al-Baqarah: 284)
"...Kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi..." (Surah Al-Munaafiquun:7)
Merasa bahawa kita memiliki sesuatu secara mutlak akan mengundang kesengsaraan jiwa kerana apa yang ada pada kita itu boleh hilang pada bila-bila masa sahaja. Justeru, kita tidak akan redha atau berpuas hati dengan sebuah kehilangan, dan akan menjadi tertipu dengan sebuah pemilikan yang sementara.
Kita tidak memiliki apa-apa dan kita juga bukan milik siapa-siapa selain Dia. Allah lah yang memiliki jiwa-jiwa kita dan segala yang ada di langit dan di bumi. Sedarlah bahawa kita akan kembali, kerana pemilikan Dia adalah sebuah pemilikan tunggal, hakiki dan abadi.
Adapun istilah "milik" yang kita gunakan dalam pembicaraan sehari-hari itu hanyalah sebuah kata yang hakikatnya merujuk kepada sesuatu yang dianugerahkan Allah kepada kita buat sementara, sebagai pinjaman. Setiap sesuatu yang diberikan kepada kita untuk dimiliki di dunia ini pasti akan hilang apabila Dia menentukannya.
Tidak ada sesuatu pun yang berada di atas muka bumi ini yang terlepas daripada pemilikan Allah. Semuanya adalah kepunyaan-Nya secara mutlak, dan hanya Dia yang berhak menentukan dan mengizinkan sesuatu itu berlaku terhadap segala isi bumi. Dia adalah pemilik mutlak yang tunggal, yang mengatur segala perjalanan dunia ini.
"Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arsy daripada apa yang mereka sifatkan." ( Surah Al-Anbiyaa':22)
Atas kesedaran bahawa kita adalah milik Allah, kita harus mengembalikan segala urusan kepada Allah. Hanya dia yang berkuasa memberikan keputusan terhadap diri kita. Hanya dia yang tahu apa terbaik untuk kita lalu memerintahkannya, dan apa yang buruk untuk kita lalu melarangnya.
Apabila Dia memiliki kita, adakah kita punya hak untuk menentang? Setelah seorang tuan memiliki seorang hamba, tugas seorang hamba adalah ikut dan tunduk patuh kepada tuannya dengan ketaatan yang tiada berbelah bahagi.
Segalanya yang kita miliki adalah milik mutlak Allah. Sekalipun kita merasa teramat sayang terhadapnya, ia tetap akan kembali kepada Allah. Isteri atau suami adalah anugerah Allah. Kita memilikinya hanya untuk sementara dalam melayari perjalanan di atas muka bumi. Bila-bila masa sahaja Allah boleh mengambilnya daripada kita tanpa perlu meminta persetujuan atau kebenaran kita, kerana sememangnya itu adalah miliknya.
Anak-anak adalah anugerah bernilai daripada Allah untuk sementara dan kita takkan selama-lamanya bersama mereka. Kemungkinan Allah memanggil kita kembali sebelum mereka, atau mereka yang diambil pergi.
Harta adalah kurniaan Allah. Apa jua cara ia luput daripada kita bukan permasalahannya. Intinya adalah ia pasti akan luput sedikit demi sedikit kerana Allah yang memberikan kita harta dan Dia menghilangkan daripada kita sepertimana yang dikehendaki-Nya. Hatta jiwa kita adalah hak mutlak Allah dan pasti kembali kepada-Nya. Apa yang tidak menjadi milik-Nya daripada sekian perkara yang kita 'miliki'? Semuanya, adalah kepunyaan Dia.
"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi..." (Surah al-Baqarah: 284)
Jika kita adalah pemilik mutlak kepada sesuatu, maka semestinya kita boleh menghalang ia hilang daripada kita. Kita pasti tidak akan pernah mampu berbuat demikian. Kita mungkin boleh berbicara dengan yakin, bahawa kita memiliki sesuatu secara pasti, namun kita akan tersadung apabila takdir Allah mendahului kehendak kita.
Hilang, lenyap, luput, mati, tamat, semuanya akan berlaku dan kita sedikit pun tidak dapat menghalangnya. Takut kehilangan dan berusaha untuk terus memiliki sesuatu adalah tanda yang jelas bahawa kita tidak memiliki sesuatu tersebut. Jika kita memilikinya, kita takkan pernah bimbang dan takut.
Dalam memahami pemilikan hakiki ini, Islam mengajar kita untuk bersikap sederhana dalam segala sesuatu. Apabila kita mencintai, janganlah sehingga melampaui batas dan ingin mendahului ketentuan Allah. Apabila kita memiliki sesuatu harta (yang hakikatnya adalah pinjaman), janganlah terlalu bakhil untuk menginfak di jalan Allah. Islam tidak melarang kita daripada berusaha untuk mendapatkan kurnia daripada Allah, kerana dia memberi apabila dia berkenan.
Apa yang paling penting adalah menyerap makna pemilikan hakiki oleh Dia dan tidak merasakan bahawa kita adalah pemilik mutlak kepada segala sesuatu. Dia adalah pemilik dan kita adalah peminjam, kitalah yang berhajat kepada apa yang menjadi milik-Nya, dan dia sama sekali tidak rugi dengan apa yang diberikan-Nya kepada kita.
"Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji." (Al-Fathir: 15)
Kita selalu merasa ingin memiliki sesuatu. Apabila kita telah memilikinya, kita selalu ingin agar ia tidak luput daripada kita. Kita selalu lupa bahawa ia adalah pinjaman yang pasti diambil kembali. Hai jiwa yang sering tidak puas dengan apa yang ada, dan sentiasa mengejar sesuatu yang bukan milik kita, sedarlah bahawa Dia adalah pemilik hakiki segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi. Apabila engkau meminta, mintalah kepada Dia. Apabila engkau ingin memberi, berilah kerana Dia.
Wallahua'lam.

Apabila kita ketagih hiburan

 alt

Hiburan. Istilahnya sahaja sudah menyeronokkan kerana ia mengingatkan kita untuk relaks dan bersantai. Menurut Kamus DBP, hiburan itu sesuatu yang menyukakan dan menggembirakan hati. Ia juga adalah sesuatu yang menyeronokkan yang mampu mengalih perhatian, mengikut Kamus Merriam-Webster pula. Melihat kepada maknanya, hiburan itu suatu aktiviti yang ringan.
Namun, oleh kerana ia menggembirakan, maka hiburan menjadi rekreasi kegemaran yang akan dilakukan oleh kebanyakan daripada kita. Meskipun pada mulanya hiburan adalah sesuatu yang sampingan, oleh kerana ia menjadi minat manusia yang meluas, maka hiburan menjelma menjadi satu industri.
Sedangkan revolusi industri di United Kingdom pada kurun ke-18 dan ke-19 yang telah mengubah sama sekali sosio-budaya dan sosio-ekonomi manusia, hiburan tidak pernah menjadi pilihan manusia untuk dikembangkan. Sebaliknya, bidang pertanian, pengeluaran, perlombongan, pengangkutan dan juga teknologi yang menjadi penjana asal revolusi industri itu.
Hiburan yang berupa acara sampingan, kini sudah menjadi acara utama kerana hiburan menjenguk dan mencelah di mana-mana, pada setiap ruang dan ketika. Kita bangun pagi bukan lagi kerana mendengar kokokan ayam, tetapi bila muzik rancak berkumandang daripada jam di telefon bimbit.
Apabila memutar ke stesyen radio, kita mendengar celoteh juruhebah yang lebih gemar memperkatakan topik-topik yang lawak hingga kita tertawa. Kita sudah tidak mendengar juruhebah yang memperingat kita dengan informasi atau menasihati kita kata-kata hikmat. Lawak hanya menghiburkan. Ia tidak akan membahagiakan seperti mendengar kata-kata hikmat.
Di akhbar-akhbar, berita-berita tentang ekonomi, masalah sosial dan bisnes jarang sekali dipilih menjadi tajuk utama. Sebaliknya berita-berita orang-orang politik yang berpolemik, cerita sensasi dan berbaur seks lebih mendapat tempat kerana ia berunsur hiburan. Di televisyen juga, drama, program realiti, konsert dan peragaan fesyen didapati lebih banyak daripada program-program berupa informasi, penyelidikan dan keilmuan.
Apabila kita membuka internet, terdapat berjuta-juta gerbang dan laman berupa hiburan hinggakan kita terlupa menjadikan komputer sebagai alat untuk memperoleh ilmu, bukannya untuk mendapat hiburan. Hiburan kini muncul di mana-mana. Hinggakan kita bukan lagi memilih hiburan untuk merehatkan fikiran, tetapi kita terpaksa memilihnya kerana ia dipersembahkan dalam beranika bentuk. Justeru itu, kita dileka dan dilalaikan. Tanpa kita sedari, kita tidak boleh hidup tanpa hiburan barang seketika.
Santapan rohani kita bukan lagi solat, zikir dan tafakur. Bukan lagi melihat mentari senja terbenam, atau melihat sekawan burung berterbangan pulang ke sarang. Sebaliknya santapan rohani kita adalah persembahan yang tentunya mengandungi muzik yang bergemuruh bunyinya dan cerita tahyul yang menakutkan hingga ia memberi kesan terhadap tabiat tidur kita.
Santapan jasmani kita bukan lagi pergi ke hutan memikat burung, berlari di sawah dengan berkaki ayam atau berperahu mudik ke kuala. Santapan jasmani kita adalah tarian yang diiringi muzik yang membingitkan. Kalau adapun yang bersukan, jumlah yang menjadi penontonnya lebih ramai daripada yang beraksi di padang atau gelanggang.
Santapan minda kita bukan lagi bahan bacaan yang mendatangkan manfaat, tetapi santapan minda kita adalah bahan bacaan yang bukannya fakta tetapi fitnah, bukannya celoteh tetapi cercaan, bukannya berita tetapi hampas cerita yang sudah dibaca berulangkali sama ada di majalah mahupun di internet.
Sebenarnya, hiburan itu bagus jika ia dinikmati secara sambilan. Ia sampingan, bukan keutamaan. Ia sepatutnya merehatkan, bukannya meleka dan melalaikan. Sebaliknya, jika kita nikmati hiburan tidak tentu masanya, kita menjadi akibat dilolokkan. Akhirnya, kita menjadi manusia hedonis ~ manusia yang suka berseronok di sepanjang masa. Sedangkan keseronokan itu bukannya kebahagiaan.
Kerana keseronokan selalunya seketika.
Kebahagiaan lazimnya berpanjangan.