Tuesday, September 7, 2010

Dosa - Dosa Yang Tak Di Sedari




Terima kasih Tuhan, kerana dengan rahmatMu banyak peringatan-peringatan yang Kau beri untuk dapat kami membaiki diri kami. Kami rasa ini satu hadiah yang besar dari Engkau berkat bulan Muharam ini. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhamad s.a.w, kerana engkaulah ya Rasulullah kami dapat meneruskan kuliah kali ini. Moga-moga kami pandai bersyukur dan dapat membanyakkan selawat kepada nabi kami.

Kerana ilmu kita tak banyak, tak halus, banyak benda silap yang kita tak tahu, banyak ilmu yang seni-seni kita tak faham. Kita telah buat kesalahan tanpa kita sedar. Kita telah buat dosa-dosa besar tapi tak tahu. Kita banyak buat kesalahan dengan Tuhan tapi tak sedar. Jadi yang kurang pada kita ialah ilmu-ilmu seni. Bila ilmu-ilmu seni itu kita tak faham, pada saya, pada orang lain saya tak tahulah, makin banyak kita ibadah makin banyak kita tipu diri. Makin kita nak jadi orang baik dah jadi tak baik. Makin banyak kita beribadah makin jahat kita dengan Tuhan, kerana ilmu kita tak boleh menyuluh diri kita, sebab ilmu Tuhan itu sangat seni. Sangat tersirat.

Yang sebenarnya ilmu yang seni-seni, ilmu yang tersirat itulah yang boleh mengubat hati. Ilmu lain tak boleh, kadang-kadang dia tipu kita, ilmu lahir tak terasa apa-apa. Bila tak terasa apa-apa, makin banyak kita buat, kita dah rasa luar biasa, kita kurang ajar dengan Tuhan, kita dah rasa hebat. Ini dah berdosa dengan Tuhan tapi kita tak sedar, kita dah tak takut dengan Tuhan.

Sedangkan itu kesalahan besar, dosa besar. Jadi kalau ilmu kita tak seni, makin buat baik jadi makin tak baik. Kan pelik didengar, kalau orang tak pernah dengar ilmu macam ni, tentulah dia fikir ajaran sesat ke ni? Yang sebenarnya dosa-dosa besar ada 2 bahagian:
1.dosa-dosa yang lahir
2.dosa-dosa yang batin

Ramai orang yang nak beragama, yang nak juga pada Islam kalau ilmunya tak seni, tak halus, ilmu yang tersirat tak tercungkil, dia tak terjebaklah dengan dosa-dosa besar lahir (yang nampak oleh mata lahir). Sebab dia nak beragama juga, yang lahir ini mudah dikesan. Tapi orang ini akan terjebak dengan dosa-dosa besar yang batin

Bagi yang jenis tak fikir agama, dosa-dosa besar yang lahir pun dia tak ambil kisah apa lagi yang batin.

Bagi orang yang agak nak beragama insyaAllah dosa-dosa lahir dia tak buat seperti zina, mencuri, minum arak, judi, menipu, rasuah...itu semua dosa-dosa besar dia tak buat. Dia tak akan berzina, melacur. Nah disitu dia tipu diri "Aku tak buat dosa besar, bersih aku ni!" Terasa baik dia. Makin baik lahirnya yang dalam makin jahat. Makin cantik di luar makin burruk di dalam. Makin bercahaya lahir, yang dalam makin gelap.

Sebab itu para sahabat salafusoleh dan orang-orang yang bertaqwa dia bukan takutkan dosa-dosa besar yang lahir tapi yang takutkan ialah dosa-dosa besar yang batin terutama syirik. Dikalangan salafusoleh para sahabat pernah berkata kalau aku mati di bilik aku ini mati sebagai orang beriman, sedangkan kalau aku pergi ke tangga rumah ini mati syahid, itu besarlah. Tak apa, saya nak mati di bilik, kenapa? Padahal jarak bilik dengan tangga itu 2-3 depa sahaja, dia takut jalan dari bilik ke tangga dia jadi syirik. Apa maksud tu?

Begitulah orang bertaqwa bimbangnya dengan syirik, bimbang dengan Tuhan. Dengan jarak 2-3 depa dia tak yakin dirinya selamat dari syirik walaupun di tangga dijanjikan mati syahid. Tak apalah yang penting aku dapat mati beriman cukuplah. Kalau masuk neraka tak kekal, daripada mengharapkan mati syahid tapi dapat mati kafir. Begitulah hati orang beriman, adakah hati kita macam itu? Hati orang mukmin bergolak, tak tahu nasib aku macam mana. Dari saat ke saat dia takut, tak tahu bagaimana nasibnya.

Bagi orang yang nak beragama juga, memang dia tak buat dosa-dosa besar yang lahir. Kalau ilmu dia tak halus, di situ dia rosak, dia buat dosa besar yang batin. Bila orang puji berbunga hati, itu dosa besar. Terfikirkah itu dosa besar? Itu yang saya maksudkan dia tipu kita, disebabkan kita tak buat dosa besar yang lahir tu jadi dia tipu kita.

Dalam pengalaman kita orang yang beribadah kuat, kalau kita tegur ''Saya tak buat salah. Tak, tak saya tak buat!'' Kenapa? Soalnya dia tak nampak di dalam, di luar ok. Tengok. Kebaikan yang diluar menipu diri. Kebaikan yang diluar merosakkan batinnya. Cahaya yang terang di luar menggelapkan dalam. Bila kita berjaya dalam ibadah ke, terasa luar biasa, ujub itu dosa besar, terfikirkah itu dosa besar? Tak! dia berlalu begitu sahaja padahal kita dah lakukan dosa besar.

Contoh lain, terlintas dalam fikiran ''Kalau aku berjuang/berdakwah nanti, macam mana nak makan, anak ramai, isteri ramai? Dosa ini lebih besar daripada contoh yang awal tadi sebab ini dah masuk kawasan syirik, merosakkan akidah. Terfikir ke kita yang fikiran macam itu sudah merosakkan akidah? Sebab itu dosa batin, yang susah nak dikesan oleh orang biasa.

Bagi orang yang nak ikut Tuhan, dosa lahir itu macam dengar bunyi gajah. Dari jauh dah dengar gedebuk-gedebuk bunyi gajah jadi senang dia nak elak, larilah.
Tapi dosa batin macam bunyi semut, tak terdengar, tak ada. Bila tak ada maka tak rasa bahaya. Bila gajah berjalan, semut berjalan berbunyi, sama. Tapi gajah senang dikesan kesak kesuk kesak kesuk, kalau semut jalan di tepi telinga pun tak dengar. Kita dah buat dosa besar tapi kerana kita tak faham, jadi kita kata kita tak buat.

Jadi ramai orang yang buat dosa besar batin. Untuk orang yang nak beragama tapi ilmunya tak ada, tak halus maka dia akan banyak buat dosa besar batin. Macam orang lain dapat kesenangan, terdetik hati kita rasa tak senang, itu dosa....mana kita terfikir itu dosa?
Kalau orang dapat kesusahan, kita tak rasa susah, itu dosa...terfikir ke kita itu dosa?
Mana boleh orang susah kita tak rasa susah, mana perikemanusiaan kita? Itu tanda hatinya sudah bankrup, tak susah dengan kesusahan orang.
Pernahkah kita menungkan,''Eh, aku ni banyak dosa sebab aku tak terasa susah dengan kesusahan orang lain.'' Tapi kalau minum arak ''Astaghfirullah hal 'azim aku telah minum arak''. Setahun dia boleh ingat. Atau kalau berzina setahun dia boleh ingat. Main diotak, tak tenang.
Tapi tak rasa susah dengan kesusahan orang, ada bermain-main di otak?...Tak! Dia berada dalam keadaan selesa tak berasa berdosa dengan Tuhan. Nampak tak ilmunya? Sebab itu kalau ilmu tak halus, tak seni, banyak ilmu tersirat kita tak tahu maka banyak dosa-dosa batin kita buat tanpa disedari.

Ilmu-ilmu tersirat, ilmu-ilmu seni itulah ilmu tasawuf, itulah ilmu rohani. Banyak dosa-dosa batin yang kita buat tak tahu. Lebih-lebih lagi sembahyang banyak, ibadah banyak, wirid zikir banyak, kerja-kerja umrah/haji dah banyak tetapi dah takut dengan Tuhan, sebab ditutup oleh kebaikan lahir tadi. Itu satu kejahatan paling besar. Sebab ianya telah mencabut rasa kehambaan. Rasa kehambaan itulah yang Tuhan nak. Bila dicabut rasa kehambaan dia tak nampak dosa besar. Bila rasa kehambaan tercabut datanglah rasa ketuanan, dah besar, bila dibiarkan dia akan datang rasa ke Tuhanan. Musnah dia punya akidah, tak bahaya ke ?

Kadang-kadang orang yang lalai dengan Islam, sekejap sembahyang sekejap tidak sembahyang, sekejap puasa sekejap tidak puasa, tapi dia rasa bersalah. Dia sedar dia salah. Itu lebih selamat daripada orang yang jaga yang lahir, ibadah yang banyak dalam hati buat jahat, tak terasa takut lagi. Yang tadi masih rasa takut lagi, dalam buat jahat dia rasa takut, rasa kehambaan masih kekal. Yang ini dia banyak buat secara luaran tak terasa takut. Sebab di sisi Tuhan orang yang buat dosa terasa berdosa itu yang selamat. Orang berdosa rasa tak berdosa, itu yang rosak! Rasa berdosa, rasa bersalah, rasa kehambaan itulah yang Tuhan nak.

Kalau kita ambil yang lahir sahaja mungkin banyak ibadah yang makin rosak sebab dia tak nampak kesalahan dirinya. Sebab itu orang dulu, kalau ada orang nak tanya tentang hukum hakam kalau nak jaga hati kalau aku terus jawab mungkin nanti ada megah. Kamu pergilah tanya si Ahmad, bila sampai si Ahmad tanyalah si Yusuf, kerana nak jaga hatilah tu. Dari Yusuf suruh pergi ke Mahmud juga. Akhirnya pusing sampai baliklah kerana tak dapat elak dia pun jawab.

Sebab itu orang dulu, kalau nak sangat berdakwah, dia tak berdakwah. Waktu dia seronok sangat nak bersyarah tu, dia tahan diri, sebab dia fikir jangan-jangan dorongan ini hanya untuk nak megah, untuk kepentingan diri. Syeikh Abdul Kadir Jailani selepas 30 tahun beribadah, buat itu buat ini, dia berdakwah. Sebab sebelum itu dia tak berdakwah. Kadang orang tanya mengapa tuan tak berdakwah, kadang-kadang dia tak jawab sebab dia tahu mengapa dia tak berdakwah. Setelah 30 tahun baru dia berdakwah, dia dah jadi orang baik...mungkin mula dari 30 tahun jadi sekarang dah 60 tahun. Orang terkejutlah. Dia kata '' Saya dah dapat arahan'', nbaru dakwah, ada arahan dari Tuhan, ada bisikan dari pihak Tuhan baru dia berdakwah. Dia berhati-hati. Sebab itu sekali sahaja dia berdakwah, yang dah nak baik terus jadi baik, yang dapat hidayah mendadak baik, yang jahat-jahat bergolak hati. Itu kesanya.
Hari ini orang kerja dakwah tapi tak ada kesan, mengapa? Sebab hati nak sangat berdakwah, masuk surat khabar lagi seronok, sehingga dakwah tak dapat memberi kesan.

Sheikh Abu Yazid Bustami lepas berdakwah ramai orang sedar, kerajaan tak senang, maka dibuang.7 tahun dibuang, 7 tahun negara bergolak. Ladang tak jadi, makan susah, kemarau, kemudian baru orang perasan mengadu ke Gabenor,''Tuanku, sejak kita buang Yazid tu keadaan jadi begini, dah teruk ni, coba bawa balik Yazid''. Dia balik masalah selasai. Kesan rasa hati mereka, bergolak negara. Mana ada orang macam ini sekarang. Masing-masing nak berdakwah, tak ada seorang pun masuk Islam, semua orang Islam tak berubah, dirinya pun tak berubah. Sebab dia berjuang tapi membawa dosa besar batin, bawa kejahatan batin, diluar bercahaya dalamnya gelap. Kerana ilmunya tak seni, ilmu rohaninya tak menyuluh batin, dia buat jahat tak sedar, dia berdosa pun tak perasan.

Ini semua faktor ilmulah. Kalau ilmu kita tak banyak, tak global, tak seni, makin kita baiki diri yang luar, makin terjun ke Neraka, makin terjun ke maksiat. Makin kita buat kejahatan tanpa kita sedar. Kena berhati-hatilah jangan sampai sembahyang, puasa, wirid kita menipu kita. Jangan ibadah kita merusakkan hati kita. Patutnya makin banyak kita baiki diri makin rasa bersalah, rasa berdosa, makin rasa tak berguna, makin rasa jauh dengan Tuhan. Itulah yang akan menyelamatkan kita.

Sekian, ampun maaf.


No comments:

Post a Comment