Dalam kehidupan seharian manusia tidak sesekali terlepas daripada kesusahan hidup. Hanya bagi mereka yang selalu bersabar akan menempuhi segala kesusaha hidup ini dengan tenang dan yakin segala kesusahan ini ada hikmah sebaliknya. Mereka yakin bahawa setiap liku kehidupan ini jika dilalui dengan sifat-sifat sabar, Allah S.W.T akan membalasnya dengan seribu kali kesenangan dan maka terimalah berita-berita gembira bagi orang-orang yang selalu bersabar seperti mana firaman Allah yang bemaksud:
“Demi sesungguhnya Kami menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan lapar (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.” ( Al-Baqarah, ayat 155)
Hakikatnya manusia sentiasa diuji Allah SWT untuk melihat sejauh mana keimanan dan keyakinan mereka kepada-Nya. Apakah kita ini seorang yang bersikap sabar dan cekal hatinya atau mudah goyah imannya apabila diuji dengan pelbagai dugaan di dunia yg sementara ini?
Ujian Allah SWT kepada hamba-Nya meliputi semua peringkat usia, pangkat dan ujian ini Allah berikan tidak mengira tua muda, miskin kaya, mahupun pemimpin tertinggi atau rakyat biasa. Semuanya tidak terkecuali daripada mendapat ujian Allah SWT. Oleh yang demikian, kita sebagai hamba-Nya hendaklah sentiasa bersabar dan bersyukur dalam keadaaan apa sekalipun kerana seseorang yang beriman itu meyakini setiap ujian itu satu penghapusan dosa dari Allah S.W.T.
Sejarah menunjukkan sepanjang 400 tahun umur Firaun di muka bumi ini dia tidak pernah diuji dengan kesusahan dan kesakitan. Disebabkan nikmat tersebut dia kufur dan bongkak dengan nikmat yang diberi oleh Allah dan disebabkan nikmat tersebut dia berani mengaku dia adalah Tuhan. Oleh itu yakinlah kita bahawa setiap kesusahan itu sebenarnya adalah satu ikatan tarikan yang Allah jadikan untuk kita supaya kita sentiasa ingat kepada kekuasaan-Nya. Dan manusia sebenarnya tidak terlepas dari bergantung harap kepada pertolongan-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Hanya kepada Engkau yang kami abdikan diri, dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan.” (Surah al-Fatihah, ayat 5)
Oleh itu, kita dituntut oleh agama untuk sentiasa berdoa tidak mengira apabila kita berada di dalam kesusahan atau pun kesenangan sekali pun kerana fitrah manusia dijadikan untuk sentiasa mengharapkan bantuan dari pencipta-Nya. Siapalah manusia jika mereka tidak bergantung kepada Penciptanya.
Manusia seringkali berdoa ketika mana mereka ditimpa kesusahan kerana di saat itu hanya Allah S.W.T tempat mereka bergantung. Akan tetapi Allah SWT tidak suka kepada orang yang sombong, iaitu orang yang merasa mereka dapat menyelesaikan sendiri masalah mereka tanpa mengharapkan pertolongan Allah SWT.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, supaya mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)
Sebagai Pencipta, Allah sangat menyukai hamba-hamba-Nya yang sering berharap akan pertolonganNya dan Allah menyukai hamba-hambaNya yang merintih ikhlas memohon pertolongan kepada Nya. Akan tetapi ada segelintir hambaNya apabila berada di dalam kesusahan mereka sangat berharap kepada pertolongan Allah tetapi di waktu kesenangan mereka kufur akan nikmat yang diberi dan berpaling dari jalan-jalan yang benar. Sesungguhnya golongan ini sangat dibenci oleh Allah S.W.T.
Dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
“Apabila manusia ditimpa kesempitan, dia berdoa kepada Tuhan-Nya, dalam keadaan bersungguh-sungguh untuk kembali kepada-Nya. Kemudian apabila dia dianugerahi dengan nikmat daripada-Nya, dia lupa doa yang dipohon kepada Tuhannya sebelum itu dan dia menjadikan untuk Allah gandingan untuk menyesatkan (manusia) daripada jalan-Nya.” [Surah al-Zumar, ayat 8]
Walau bagaimanapun sebagai hambaNya yang beriman, di kala kesenangan sekalipun kita disuruh untuk selalu berdoa. Berdoalah supaya ditetapkan dan ditambah rezeki yang halal, bermohonlah supaya kebahagiaan yang kita kecapi sekarang ini dipanjangkan dan berdoalah supaya nikmat kesihatan ini sentiasa berkekalan.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Doa itu bermanfaat terhadap kejadian yang sudah berlaku atau kejadian yang belum berlaku. Oleh itu, wahai hamba Allah, hendaklah kamu berdoa.” (Diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Majah dan lain-lain)
Sesungguhnya setiap ujian dan percubaan hidup ini seharusnya kita yakini akan kewujudan hikmah yang Allah S.W.T jadikan. Bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang selalu boleh melemahkan semangat kerana Allah sentiasa mempunyai maksud baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan seorang hamba itu berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Sementara dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Hadith yang diriwayatkan oleh Anas ada menunjukkan setiap ujian itu adalalah suatu dari Allah;
“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya Allah berfirman: “Jika Aku menguji hamba-Ku dengan dua benda yang paling dia sayangi, lalu dia bersabar menghadapinya, maka Aku akan menggantikan keduanya dengan syurga. Yang dimaksudkan dua benda itu adalah kedua matanya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Hadith ini jelas menunjukkan bahawa setiap ujian yang Allah S.W.T berikan kepada hambanya yang bersabar dan cekal menghadapinya pasti Allah membalas mereka dengan balasan setimpal dengan kesabaran mereka iaitu syurga.Walau bagaimanapun, kita tidak perlu memiliki keyakinan dan keimanan yang lemah akan hikmah apabila diuji dengan percubaan. Ketahuilah bahawa Allah Ta’ala itu mencurahkan kasih sayang-Nya dengan mendatangkan berbagai cubaan kepada hamba-Nya semata-mata untuk mengampuni dosa-dosa hambanya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagi orang-orang yang beriman dan yang mahu memperkukuh serta menyempurnakan akidahnya, cubaan atau ujian itu akan semakin memperteguh semangatnya untuk mengabdi diri kepada Allah serta meningkatkan ketakwaannya kepada-Nya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment